Tuesday, March 11, 2014

Ketahui Punca-Punca Keracunan Makanan..



Sejak kebelakangan ini, kita telah dikejutkan dengan berita tentang keracunan makanan yang telah meragut nyawa seorang budak yang berusia 5 tahun. Masalah ini telah banyak diperkatakan menerusi media massa sama ada media elektronik mahupun media cetak. Oleh hal yang demikian, punca-punca yang menyebabkan berlakunya keracunan makanan telah dapat dikenalpasti. Antaranya ialah kaedah penyediaannya yang kotor dan tidak teliti. Hal ini demikian kerana, para penjaja tidak memastikan bahan-bahan mentah yang hendak dimasak, dicuci sebersih-bersihnya terlebih dahulu. Akibatnya, sayur-sayuran yang dimasak masih lagi mangandungi sisa-sisa racun perosak, manakala bahan-bahan mentah seperti daging, ikan dan ayam pula dicemari oleh bakteria yang berbahaya seperti bakteria Salmonella. Pendek kata, penyediaan makanan yang tidak bersih akan menyebabkan kes keracunan makanan berlaku. Makanan yang terdedah pada suhu persekitaran juga boleh menyebabkan keracunan makanan. Antaranya ialah, susu, keju dan krim; masakan berlemak; roti dan kuih-muih. Makanan yang telah menjadi sejuk menyebabkan kuman mudah mencemarinya. Oleh itu, makanan tersebut haruslah disediakan dengan teliti.

Selain itu, keadaan persekitaran yang kotor akan menyumbang kepada berlakunya masalah keracunan makanan. Contohnya dipasar malam, gerai-gerai makanan kebiasaannya berhampiran dengan kawasan longkang dan persekitaran tapak jualan yang kotor pula menjadi tempat pembiakan serangga pembawa penyakit seperti lalat, lipas dan tikus. Tanpa disedari sesiapa, serangga dan haiwan perosak kemudiannya mensasarkan bahan mentah, malah makanan yang telah disediakan oleh penjaja sebagai makanannya. Oleh itu, persekitaran yang kotor akan menyebabkan bakteria mudah merebak. Kesimpulannya, punca-punca yang menyebabkan berlakunya kes keracunan makanan sebenarnya berpunca daripada sikap kita sendiri yang memandang rendah perihal kebersihan diri dan persekitaran. Disebabkan hal itu, individu dan masyarakat haruslah mangambil langkah-langkah yang drastik agar masalah ini dapat diatasi dengan segera agar tidak menyesal di kemudian hari, bak kata pepatah 'sudah terhantuk baru tergadah'.

(278 patah perkataan)