Tuesday, April 1, 2014

Suasana Pembelajaran di Universiti..




Baru-baru ini keputusan peperiksaan sudah dapat diketahui umum. Ada yang mendapat keputusan dengan cemerlangnya, dan ada juga yang kurang bernasib baik. Pelajar yang cemerlang akan melanjutkan pelajaran ke universiti, sama ada di dalam negara mahupun universiti di luar negara. Pastinya setiap pelajar mempunyai impian untuk melanjutkan pelajaran ke sana sama ada secara sepenuh masa atau secara pendidikan jarak jauh bergantung kepada pilihan masing-masing. Mengikut pengalaman sendiri, tidak dinafikan suasana pembelajaran di universiti memang seronok dan banyak perkara yang boleh dipelajari. Apabila berada di universiti, kita akan mendapat kebebasan untuk menguruskan kehidupan. Kita haruslah pandai berdikari dan menguruskan hidup sama ada dari aspek pelajaran, kewangan, kehidupan sosial dan sebagainya. Jika dibandingkan dengan zaman sekolah dahulu, kehidupan sebagai pelajar universiti sememangnya berbeza. Selain perlu bijak dalam mengawal kewangan, kita juga harus bijak memilih kawan supaya tidak terjebak dengan perkara yang negatif.

Saya mengikuti pengajian di Universiti Utara Malaysia dalam bidang Pengurusan Risiko dan Insurans, dan hampir tiga tahun saya menimba ilmu dalam bidang ini. Di UUM, bidang ini tidak begitu dipelopori , oleh sebab itu bilangan pelajarnya kurang sedikit berbanding dengan bidang-bidang yang lain. Apabila mendengar sahaja bidang ini, pastinya terbayang di minda hal-hal berkenaan insurans dan semestinya apabila sudah melangkaui alam pekerjaan, satu-satunya pekerjaan yang dilakukan ialah menjadi ejen insurans, yang sentiasa berusaha untuk mempengaruhi pelanggan untuk membeli insurans darinya. Tanggapan ini sangat tidak berasas, kerana selain daripada hal-hal berkenaan insurans, kami juga didedahkan perkara yang berkaitan dengan risiko. Kami diajar teknik-teknik menguruskan risiko dan pelbagai lagi. Dengan ilmu yang dipelajari ini, kami dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian terutamanya apabila berlakunya sesuatu kejadian atau bencana-bencana yang dialami sama ada individu, dan juga masyarakat. Dengan ilmu ini, kami mempunyai banyak pilihan kerjaya, contohnya  pengurus risiko, 'loss adjuster', 'claim adjuster', dan sebagainya. Walaubagaimana pun, kerjaya lain yang tidak berasaskan bidang ini juga boleh dipilih.

Di samping menimba ilmu pengetahuan, pelajar juga dapat menikmati keindahan landskap yang terdapat di kawasan persekitaran UUM. Di sini, terutamanya apabila tiba musim bunga, pelajar dapat melihat bunga-bunga yang menguning yang luruh seperti suasana di luar negara. Selain itu, pelajar juga dapat menikmati udara segar di tasik-tasik seperti Tasik di dpp MAS. Disamping itu, pelajar juga boleh melibatkan diri dalam aktiviti ekstrem seperti Go-kart, 'climbing wall', menunggang kuda, memanah dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik.

Kesimpulannya, suasana pembelajaran di universiti sangat menarik. Apabila berada di universiti kita akan lebih bersifat matang dan terbuka dalam menguruskan sesuatu tugasan dan menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul. Oleh itu, kita haruslah berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita yang diimpikan dan mempunyai peluang kerjaya yang cerah.


2 comments:

  1. Assalamualaikum..sy nk bertanya..bagai mana suasana di uum?asrama semua..sy ditawarkan course yg sama..pndaftaran 1/9/15..mohon diberi pencerahan kakak senior..

    ReplyDelete
  2. course pengurusan risiko dan insuran ni apa?

    ReplyDelete