Tuesday, April 1, 2014

WaRNa..


Setiap orang mempunyai warnanya yang tersendiri. Warna mempunyai kaitan dengan personaliti seseorang individu. Terdapat pelbagai warna yang sinonim dengan ciri-ciri personaliti seseorang seperti merah, jingga, hijau dan sebagainya. Warna-warna ini adalah anugerah Allah s.w.t kepada kita. Bersyukur kerana kita diberi penglihatan untuk melihatnya. Betapa bertuahnya kita berbanding dengan orang kurang upaya yang buta, hanya dapat melihat satu warna sahaja iaitu hitam. Namun, Allah maha adil, diberi pula hati yang terang kepada mereka.Warna sebenarnya mempunyai pengaruh besar dalam kehidupan setiap individu. Setiap warna yang berbeza memberi  pelbagai rasa seperti panas, tenang,vsedih dan sebagainya. Impak warna dalam kehidupan memang tidak dapat dinafikan. Tanpa warna, pastinya hidup ini sama sahaja coraknya pada hari-hari lain.

Melalui kajian warna, kita dapat mengenalpasti kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri kita. Ianya bermula pada tahap sosial hinggalah kepada perkara yang dapat membantu kita dalam membangunkan diri. Bagi diri saya sendiri, saya lebih cenderung kepada warna violet atau lebih dikenali sebagai warna ungu. Menurut kajian terapi warna, warna violet menggambarkan seseorang yang memiliki minda yang tinggi. Daya penilaian juga tinggi dan berpandangan jauh. Individu yang cenderung kepada warna ini biasanya suka kepada sokongan dan keceriaan serta mempunyai cita-cita yang tinggi. Individu ini juga seorang yang kreatif dan suka kepada keindahan alam dan seni serta berjiwa halus dan juga penuh kasih sayang. Dari sudut negatinya pula, mudah merasa kecewa dengan sikap orang di sekelilingnya dan sifatnya sedikit kurang teliti tetapi penuh harapan dan positif. Sifat-sifat lain yang ada pada individu yang cenderung kepada warna violet ialah bersifat berinisiatif, pemurah, tidak suka diperintah, bijak tetapi agak beremosi, serta rajin tetapi sombong. Bagi saya, warna ungu atau violet ini melambangkan sifat kelembutan terutamanya ungu lembut. Ia memberikan ketenangan, kedamaian dan keyakinan kepada saya terutamanya apabila melibatkan soal pemilihan warna pakaian dan ruang-ruang sekeliling.


Warna coklat juga menarik perhatian saya. Warna coklat mampu mendorong saya dalam membina kekuatan dari segi mental dan fizikal. Ia juga memberikan dorongan kepada saya untuk hidup berdikari tanpa bergantung kepada sesiapa. Melalui kajian personaliti warna, warna coklat kaya dengan sifat keibuan, merendah diri, sopan santun, halus budi pekerti, serta mudah mempercayai orang lain. Warna ini bersifat 'neutral' dan mencerminkan keseimbangan dan kestabilan. Oleh itu, ia memberi rasa ketenangan, nyaman, anggun dan elegen. Ia juga membantu dalam meningkatkan komitmen dan kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara. Bagi saya warna coklat memberikan keseimbangan antara kelembutan dan ketegasan dalam sesuatu perkara.

Pemilihan warna-warna ini bergantung kepada situasi, tidak semestinya warna kegemaran akan sentiasa dipilih.Kesimpulannya, warna-warna ini memberikan impak yang besar dalam kehidupan seharian. Melalui warna, kita dapat membongkar kecenderungan, kekuatan dan kelemahan sendiri. Kewujudan pelbagai warna akan memberikan kesan kecerian dalam kehidupan kita.
















No comments:

Post a Comment